MACHANG, 24 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pentadbiran Pas di Kelantan selama 33 tahun adalah gagal.

Jelasnya, kerajaan Pas di Kelantan sudah semestinya gagal untuk membentuk pertumbuhan ekonomi sekaligus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya sepanjang mentadbir.

“Apabila kita mahu wujudkan Kerajaan Perpaduan, ada yang kata saya minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segala tuduhan mahkamah ke atas saya ditarik balik. Mereka ini buat pelbagai fitnah.

“Dengan niat untuk tidak menyentuh hal peribadi, sebenarnya kerajaan Kelantan selama 33 tahun ini telah gagal. Kita berada di Machang ini selepas 33 tahun untuk menebus segala kegagalan yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan. Berapa peratus sumbangan kerajaan Kelantan dalam pembangunan ekonomi negara? Hanya 1.8 peratus.

“Padahal orang Kelantan ramai pandai-pandai. Melahirkan ramai profesor dan ketua eksekutif. Ini semua sebab Kelantan tidak mampu merancakkan ekonomi negeri dan menyediakan peluang pekerjaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Madani peringkat Negeri Kelantan, di sini, semalam.

Menurutnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, segala masalah dihadapi oleh rakyat Kelantan boleh diselesaikan sekiranya kerajaan negeri dibentuk selari dengan pusat.

“Kita tak janji syurga ataupun bulan bintang. Tetapi insya-Allah sekiranya Kerajaan Perpaduan terbentuk di Kelantan, kita akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan segala masalah membelenggu negeri ini.

“Ada yang kata Islam terancam di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan. Padahal sebanyak RM1.5 bilion peruntukan telah diberikan untuk institusi-institusi agama. Di manakah yang menunjukkan Islam terancam?

“Kita berazam untuk memberikan peruntukan sama ada kepada tahfiz berdaftar ataupun tidak. Azam dan tekad kita adalah untuk mewujudkan huffaz profesional,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut beranggapan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini adalah masa yang terbaik untuk mengemukakan calon-calon muka baharu.

“63 peratus muka baharu wakil UMNO/BN. Hanya 18 peratus sahaja muka lama dan berpengalaman. 85 peratus daripadanya mempunyai ijazah dalam pelbagai bidang. Inilah masa terbaik untuk kemukakan calon-calon baharu.

“Kalau kita mahu menang, pastikan kita bekerja seperti nak menang. Saya yakin dengan semangat yang ditunjukkan pada malam ini. Kita minta rakyat Kelantan berilah peluang sekali ini untuk calon-calon parti Kerajaan Perpaduan. Kita akan berikan yang terbaik.

“Jika dalam tempoh lima tahun ini kita gagal menunjukkan prestasi yang baik, rakyat Kelantan boleh menggunakan hak mereka untuk mengubah semula pentadbiran. Insya-Allah, sekiranya kita pegang Kelantan kita akan cuba sedaya upaya untuk memajukan negeri ini,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis ini ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, para pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan seluruh kepimpinan UMNO negeri.