RANTAU PANJANG, 11 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok, Anuar Mohamad melihat bahawa angin perubahan terus berlaku di negeri Kelantan selepas negeri itu tidak mengalami apa-apa perubahan sepanjang 33 tahun di bawah pentadbiran Pas.

Tegasnya, angin perubahan tersebut perlulah disambut sebaiknya agar keyakinan rakyat untuk mengubah pentadbiran kerajaan negeri Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini tidak teralih.

“Angin perubahan itu telah kelihatan. Bermakna, baki tempoh berkempen ini haruslah digunakan sebaiknya.

“Seperti mana manifesto yang telah dikeluarkan, perkara paling menarik sekali bagi anak muda, saya akan mencari satu tempat gelanggang futsal percuma.

“Saya telah ‘mengikat’ beberapa gelanggang futsal di Rantau Panjang ini untuk diberikan kepada setiap pusat daerah mengundi (PDM). Gual Periok ini mempunyai 12 PDM dan semuanya akan dapat bermain bergilir-gilir secara percuma,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menjadi wakil rakyat, beliau akan berusaha untuk menghidupkan semula pekan Rantau Panjang yang kelihatan suram pada ketika ini.

“Apa yang paling besar, masalah di pekan Rantau Panjang itu sendiri yang kita lihat banyak kedai telah terbengkalai. Saya akan mewujudkan aktiviti baharu di situ untuk membina satu astaka yang gah.

“Begitu juga tempat parking dan ‘food truck’, akan berfungsi semula. Sekarang ini, hanya satu daripada tiga pintu masuk sahaja dapat digunakan pada waktu malam. Sekiranya saya diberi mandat, kita akan cuba membuka semula ketiga-tiga pintu untuk mencambahkan kegiatan ekonomi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar para jentera bekerja keras bagi memperoleh kemenangan dan rakyat akan memberikan kepercayaan kepadanya.

“Pesanan kepada jentera, masa yang berbaki ini kerjalah dengan kuat. Kepada semua pengundi berilah mandat dan peluang pada 12 Ogos ini dengan mengundi BN,” katanya lagi.