MACHANG, 26 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengajak rakyat di Kelantan untuk menoktahkan pemerintahan Pas selama 33 tahun di negeri tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau turut menyeru para jentera dan kepimpinan parti untuk membulatkan tekad bagi memenangi kesemua kerusi yang ditandingi dalam usaha menyelarikan pentadbiran negeri serta pusat.

“Orang-orang Kelantan, sudah 33 tahun kita diperintah di bawah Pas. Pada 12 Ogos nanti kita noktahkan pemerintahan Pas di Kelantan. Cukuplah 33 tahun.

“Marilah kita membulatkan tekad untuk menoktahkan kepimpinan mereka dan ubah kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan agar selari dengan pentadbiran pusat.

“Apabila kita pulang, mudah-mudahan kita dapat bawa semangat yang membara ini sekaligus memenangi semua kerusi ditandingi,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Madani peringkat Negeri Kelantan baru-baru ini.

Menurutnya, tidak ada yang mustahil dalam politik dan calon-calon Kerajaan Perpaduan sudah semestinya boleh menang di Kelantan pada PRN ini.

“Saya yakin calon-calon Kerajaan Perpaduan boleh menang di semua kerusi yang kita tandingi untuk bentuk kerajaan di Kelantan. Tidak ada perkara yang mustahil dalam politik.

“Perkara itu mesti kita bedah daripada benak kita. Kita pecahkan kebuntuan dalam fikiran kita. Jangan kata kita tidak boleh menang. Dalam politik, ‘nothing is impossible’.

“Juara tinju dunia, Muhammad Ali bertanding 61 kali, hanya kalah lima kali. Antara pegangan beliau, ‘impossible is nothing’,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa Kerajaan Perpaduan boleh membentuk kerajaan di Kelantan sekiranya segala usaha dilakukan secara berpadu dan bersungguh-sungguh.

“Jika dahulu mereka memerintah… kita berusaha bersungguh-sungguh. Insya-Allah kita boleh. Syaratnya yang pertama, para calon perlu memperbanyakkan aktiviti bersama masyarakat. Kedua, kita hendaklah berpadu seluruh jentera.

“Ketiga, kita perlu sokong kesemua calon yang ditonjolkan. Keempat, kita gunalah data yang ada sebaiknya dalam mendekati para pengundi dan kelima, jaga emosi rakyat agar mereka suka kepada kita,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis ini ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, para pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan seluruh kepimpinan UMNO negeri.