JELI, 11 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kechik berhasrat untuk meneruskan segala khidmat bakti yang telah diberikan sepanjang lima tahun sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Ujarnya, beliau memperoleh sambutan yang amat memberangsangkan sepanjang tempoh berkempen ini.

“Alhamdulilah, sambutan yang saya perolehi daripada rakyat di kawasan Bukit Bunga sangat baik malahan ada peningkatan sungguh mendadak dari segi sokongan dan perkara ini tidak dijangka. Saya yakin semua ini berlaku disebabkan jentera saya mantap.

“Saya dapati calon di sebelah sana yang akan saya tentang adalah calon luar. Saya mempunyai kelebihan dan beliau juga datang ke sini dengan agenda yang tidak digemari oleh penduduk kawasan saya,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, meskipun sudah memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga selama lima penggal, masih banyak perkara yang belum dapat diselesaikan.

“Saya akan menyambung kerja-kerja kebajikan yang telah dilakukan sebelum ini dan pastinya sepanjang lima penggal saya berkhidmat di DUN ini, masih banyak lagi perkara belum dilakukan.

“Ini adalah disebabkan sepanjang perkhidmatan saya selaku ADUN, saya dibayangi oleh ahli parlimen yang juga seorang menteri. Sekarang beliau sudah meninggalkan parti kita. Oleh kerana harapan yang cukup tinggi kepada BN untuk memenangi, bukan sahaja mempertahankan DUN Bukit Bunga tetapi Kelantan juga kita akan kembalikan kepada BN,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pembangunan di Kelantan hanya akan dapat dilakukan sekiranya kerajaan negeri yang terbentuk sama dengan pentadbiran pusat.

“Sudah tentulah dengan kejayaan kita membentuk kerajaan baharu di Negeri Kelantan yang selari dengan pentadbiran pusat. Perkara-perkara yang sebelum ini kita tidak dapat lakukan, Insya-Allah kita akan laksanakan dengan sempurna.

“Saya berharap para pengundi di DUN Bukit Bunga akan beramai-ramai keluar mengundi. Gunakan hak tuan-tuan dan puan-puan sekalian dan jangan lupa undi BN untuk kemakmuran serta kesejahteraan rakyat Kelantan,” katanya lagi.