Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Kelantan hanya menyumbang 1.8 peratus kepada pembangunan ekonomi negara.

Berucap pada perhimpunan Jelajah Perpaduan Madani di Maching, Kelantan semalam, Zahid mendakwa ini gara-gara 33 tahun PAS gagal dalam mentadbir negeri itu.

“Semua golongan itu berada di luar Kelantan disebabkan tidak mempunyai peluang pekerjaan menyebabkan mereka berhijrah,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Semakan di laman web OpenDosm Jabatan Perangkaan mendedahkan bahawa pada 2021 KDNK mengikut data negeri – yang terkini untuk kategori ini – sumbangan Kelantan kepada keluaran dalam negara kasar bagi tahun berkenaan adalah 1.9 peratus.

Sumbangan Kelantan adalah yang kedua terendah dalam negara manakala Perlis (0.4 peratus) adalah paling rendah.

Zahid juga dipetik sebagai berkata BN dan PH tidak menjanjikan syurga neraka, sebaliknya berazam majukan Kelantan.

“Kesian orang Kelantan. Sudah 33 tahun PAS gagal mentadbir negeri ini,” katanya.