KOTA BHARU, 1 Ogos – Kerjasama jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) atas nama Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini memperlihatkan keikhlasan kedua-dua parti dalam usaha mengubah pentadbiran sedia ada di Kelantan.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong, Mohamed Hasnan Che Hussin berkata, proses berkempen berjalan amat lancar tanpa sebarang kemaslahatan.

“Proses berkempen berjalan dengan lancar dan baik. Apa yang lebih penting, pembentukan kerjasama antara kepimpinan dan akar umbi BN-PH itu sangat kukuh.

“Kita boleh duduk bersama-sama merancang dan mengatur strategi gerakan tanpa sebarang masalah. Alhamdulilah kempen kita di semua peringkat berlangsung dengan baik dan kita telah santuni para jentera dengan beberapa buah program mengikut sayap masing-masing.

“Kerjasama ini terbentuk dengan begitu baik sekali. Tidak pernah saya lihat perkara seperti ini meskipun ianya terbentuk dalam masa begitu singkat, tetapi keikhlasan dan semangat ditonjolkan itu jelas dilihat kita dapat bersama,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, dalam tempoh 33 tahun pemerintahan Pas, tidak ada apa-apa pembangunan dibawa mereka sebaliknya hanya melaungkan retorik semata-mata.

“Saya rasa selepas 33 tahun Kelantan diperintah oleh kerajaan Pas, tidak ada apa-apa pembangunan. Walaupun Pas sentiasa melaungkan bahawasanya Pas itu Islam, membangun bersama Islam.

“Sebenarnya semua itu hanya retorik semata-mata. Sudah 33 tahun, come on rakyat Kelantan. Takkan kita perlu tunggu lagi satu penggal untuk berubah? Masa sudah terlalu lama.

“Kepada rakyat Kelantan, berilah peluang kepada BN dan PH hanya satu penggal ini. Kuasa berada di tangan rakyat setiap lima tahun. Selepas lima tahun, sekiranya Kerajaan Perpaduan ini tidak dapat melaksanakan janji, tugas dan amanahnya untuk membantu rakyat maka rakyat mempunyai kuasa mutlak untuk mengubahnya semula,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada para jentera untuk bekerja keras dalam menyantuni rakyat dalam masa yang sama berharap agar rakyat memberikan peluang kepada BN-PH mentadbir negeri itu.

“Kepada para jentera, kita perlu move on dan ingat tanggungjawab kita sebagai ahli parti serta amanah dalam menyantuni rakyat. Kita kena turun ke bawah merayu kepada rakyat untuk mengubah kerajaan yang ada ini.

“Kepada rakyat, inilah masa dan peluang yang terbaik untuk membuat perubahan. Saya minta semua rakyat di Kelantan agar bersama-sama mengubah kerajaan hari ini,” katanya lagi.