KOTA BHARU, 2 Ogos – Barisan Nasional (BN) Kelantan optimis mampu memenangi sekurang-kurangnya 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Setiausaha BN Kelantan Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berkata pihaknya juga yakin mampu mempertahankan lapan kerusi yang dimenangi parti itu sebelum ini serta merampas lapan kerusi milik PAS.

“Setakat hari ini saya boleh sebut gabungan Pakatan Harapan (PH)-BN menjadikan kita yakin BN boleh pertahan lapan kerusi dan boleh tambah lapan. Kita mengharapkan gabungan PH-BN boleh melakukan perubahan di Kelantan,” katanya pada Sidang Media PRN Kelantan PH-BN di sini hari ini.

Beliau berkata selain 16 kerusi daripada BN, pihaknya turut berharap sekurang-kurangnya tujuh kerusi dimenangi oleh PH yang akan membantu mencukupkan kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Pada PRN Kelantan kali ini, sebanyak 14 kerusi diputuskan ditandingi PH manakala 31 lagi oleh BN. – BERNAMA