PENGKALAN CHEPA, 11 Ogos – Rakyat Kelantan perlu berhijrah dengan menukarkan kerajaan negeri sedia ada kepada Kerajaan Perpaduan bagi memastikan agenda ‘Ubah Kelantan’ dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, Haris Hussin membawa azam untuk melakukan satu perubahan drastik sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

“Proses berkempen selepas penamaan calon sehingga ke hari ini alhamdulilah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Antara dua pihak pun, saya telah berjumpa dengan calon Pas tiada masalah. Berkempen secara sihat dan menyatakan segala tawaran kepada rakyat DUN Kijang.

“Sekiranya saya diberi mandat oleh rakyat DUN Kijang, saya akan buat satu perubahan yang drastik kepada masyarakat dari segi prasarana, pembangunan, akhlak dan lain-lain seperti peluang pekerjaan serta nelayan.

“Para nelayan juga pada masa ini sedang berada dalam masalah seperti mereka tidak dapat mendaratkan ikan disebabkan muara cetek. Masalah rakyat di DUN Kijang ini contohnya secara langsungnya ialah bekalan air. Bukan Kijang sahaja tetapi di seluruh Kelantan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, rakyat Kelantan perlu berubah pada PRN ini bagi memastikan pelan pembangunan dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Kelantan perlu berubah kerana negeri ini sudah terlalu lama dari segi kerajaan yang tidak membawa apa-apa kemajuan. Itulah sebabnya kenapa kita perlu mengubah Kelantan. Rakyat Kelantan perlu berubah pada PRN ini.

“Pesanan saya kepada para jentera supaya bekerja bertungkus-lumus bagi memastikan kemenangan DUN Kijang.

“Kepada para pengundi, berilah saya peluang untuk melakukan perubahan di DUN Kijang ini. Selama ini kita tidak pernah menang. Saya harap rakyat Kijang boleh membuat satu perubahan yang besar dengan memenangkan calon BN pada PRN ini,” katanya lagi.