PASIR PUTEH, 10 Ogos – Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan menarik pelaburan asing dan domestik ke Kelantan sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu merupakan antara tumpuan BN-PH selain sektor pendidikan dan usaha mewujudkan peluang pekerjaaan kepada rakyat Kelantan.

“Kita akan bawa lebih banyak pelabur asing datang ke Kelantan seterusnya bagi peluang pekerjaan kepada anak-anak negeri…

“Kita tidak mahu anak Kelantan ramai yang menganggur, akhirnya mencari kerja di luar,” katanya semasa berucap pada Himpunan Jentera dan Penyokong BN-PH Pasir Puteh di Dewan Terbuka Uthmaniyah Kampung Pulau Lima di sini malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi BN, juga berkata agama Islam tidak tergugat sebaliknya peruntukan kepada institusi dan hal ehwal Islam semakin bertambah sejak Kerajaan Perpaduan mentadbir negara.

“Sejak (Kerajaan Perpaduan) ambil alih (pemerintahan negara), adakah Islam terancam atau tergugat? Sebaliknya lebih banyak (peruntukan) dari zaman tiga Perdana Menteri sebelum ini,” katanya. – BERNAMA