KOTA BHARU, 6 Ogos – Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Dr Md Alwi Che Ahmad mengingatkan para pengundi khususnya anak muda di Kelantan agar tidak mengikut emosi dan terpengaruh dengan hasutan dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung ini.

Jelasnya, di setiap ceramah BN-Pakatan Harapan (PH), ramai anak-anak muda di negeri itu hadir dan perkara ini turut menunjukkan gelombang peralihan negeri tersebut.

“Saya tengok ceramah-ceramah kita ramai orang muda datang. Gelombang perubahan itu ada cuma jangan lupa hasutan PN terhadap isu agama dan race (bangsa) ini amat tebal. Mereka bergantung kepada perkara-perkara tersebut dan bukannya ‘performance’ kerana mereka tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan janji.

“Mereka mentadbir Kelantan selama 33 tahun dengan kegagalan. Mereka tidak mempunyai trek rekod tetapi mereka memainkan sentimen dan juga hasutan.

“Saya harap anak-anak muda berpijak di bumi yang nyata. Jangan ikut emosi dan terpengaruh dengan hasutan. Modal mereka hanyalah ‘Islam terancam’ sedangkan realitinya tidak sebegitu,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Bangunan UMNO Negeri Kelantan, di sini.

Menurutnya, serangan PN di media sosial ini agak tinggi dan ianya hanya berkisarkan kepada hasutan, bukannya fakta.

“Serangan udara TikTok dan kumpulan Whatsapp daripada PN ini agak tinggi. Mereka masih banyak duit untuk bayar blogger dan juga pempengaruh. Nampak serangan mereka ini berkisar ke arah hasutan, bukannya fakta.

“Saya nak tegaskan bahawa politik ‘is not ever about past’. Politik adalah untuk masa depan. Tentang bagaimana untuk merancang hala tuju dan masa depan dalam memulihkan negeri atau negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pemerintahan Pas selama 33 tahun di negeri tersebut adalah gagal.

“Kadang-kadang kita tidak perasan bahawa peluang pekerjaan tiada di Kelantan sedangkan negeri ini kaya dengan segala potensi.

“Salah satu contoh kegagalan besar, ke mana pergi Koridor DEPU? Adakah sudah menjadi debu? Itu adalah contoh bekalan depan mata.

“Janji mereka untuk buat pelabuhan barat di Kuala Krai, tidak dijalankan. Tujuh pembangunan dijanjikan di tepi Sungai satu pun tidak berlaku. Stesen bas sampai berapa kali tukar ‘design’. Takkan nak salahkan kerajaan pusat lagi?” katanya lagi.

Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan bermula dengan Hari Penamaan Calon pada 29 Julai lalu.

Hari Pengundian Awal akan berlangsung pada 8 Ogos ini manakala hari Pengundian pula pada 12 Ogos.

Seramai 31 calon BN dan 14 daripada PH bertanding di Kelantan untuk PRN kali ini.