MACHANG, 8 Ogos – Penampilan muka baharu dan anak-anak muda sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menunjukkan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) bersedia melakukan perubahan dan dinamik dalam berpolitik.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Chondong, Muhammad Fakhran Che Jusoh berkata, perkara ini dilakukan demi meneruskan legasi perjuangan UMNO khususnya di Kelantan.

“Alhamdulilah UMNO mengikut permintaan rakyat. Rakyat meminta UMNO berubah dan ya, UMNO sedang berubah. UMNO mengemukakan muka-muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di negeri Kelantan.

“Ianya satu cabaran yang hebat dan kuat untuk anak muda bagi meneruskan legasi UMNO di Kelantan.

“Saya dikira calon termuda pada PRN kali ini. Satu cabaran yang hebat, tetapi saya seorang anak muda dan faham akan isi hati serta kehendak golongan kami di Kelantan khususnya di Pulai Chondong,” kata anak muda yang berusia 26 tahun itu kepada UMNO Online.

Jelasnya, beliau merupakan salah seorang anak muda yang terkesan dengan kegagalan kerajaan negeri untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Apa yang pastinya, sudah semestilah peluang pekerjaan seterusnya dari segi sektor ekonomi untuk anak muda mengembangkan bisnes, isu-isu setempat seperti air dan sebagainya.

“Saya pernah memohon pekerjaan sebagai jurutera tetapi sampai ke hari ini belum ada lagi jawapan dan sudah semestinya anak muda terkesan.

“Anak muda memerlukan peluang pekerjaan namun kerajaan negeri tidak memandang enteng terhadap masalah ini. Ianya memberikan kesan besar kepada anak-anak muda,” katanya lagi.

Menurut Muhammad Fakhran, ketiadaan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda juga menyebabkan berlakunya gejala sosial yang tidak diingini.

“Salah satu daripadanya ialah gejala sosial yang tinggi seperti merompak, mengambil bahan-bahan terlarang kerana tertekan.

“Jika diberi mandat, kita akan menjadikan Pulai Chondong yang hebat dan menjadi pusat pelancongan. Bukan kerana bangun pencakar langit tetapi keindahan sesuatu tempat dan menjadikan sektor ekonomi setempat lebih maju,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat Kelantan khususnya untuk memberikan peluang kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan bagi melakukan anjakan paradigma di negeri tersebut.

“Kepada semua rakyat Kelantan, berilah peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negeri. Berilah peluang kepada kami untuk mencipta sejarah.

“Lahirnya generasi kita adalah untuk anak cucu kita. Jika generasi kita tidak berubah macam mana anak cucu kita mahu membina hidup mereka di Kelantan?

“Jadi saya harap, merayu dan memohon pertolongan agar undilah BN kerana kami ingin membina masa depan negeri yang lebih baik,” katanya lagi.