KETEREH, 4 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Azmi Ishak bertekad untuk memberi fokus kepada sektor pendidikan dan pertanian di kawasan tersebut sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Ujarnya, beliau melihat sambutan baik daripada rakyat terhadap kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) di Kelantan terutamanya di kawasan DUN Melor itu sendiri.

“Pertamanya saya ucap terima kasih kepada kepimpinan parti kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi calon di N23, Melor.

“Selepas penamaan calon saya lihat ada satu sambutan yang agak baik kepada gabungan BN-PH. Setakat ini saya lihat penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan terutamanya di kawasan Melor.

“Para jentera juga kelihatan begitu bersemangat dalam tempoh berkempen ini. Nampaknya rakyat seperti sedang menunggu sesuatu untuk melihat perubahan dalam kawasan mereka sendiri,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, beliau berazam untuk menyelesaikan masalah prasarana dihadapi oleh para penanam padi yang meliputi lebih daripada 50 peratus komposisi penduduk di kawasan tersebut.

“Selepas dicalonkan, saya berazam untuk melaksanakan perubahan terutamanya dalam bidang pendidikan dan juga pertanian.

“Sekiranya dipilih, saya akan menyelesaikan persoalan prasarana penanam padi kepada para pesawah di kawasan saya. Saya dapati lebih 50 peratus penduduk adalah penanam padi ataupun yang terlibat dengan pertanian.

“Jadi, saya akan jadikan pertanian itu sebagai satu hasil pendapatan rakyat di kawasan Melor,” katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan seorang pendidik turut berhasrat untuk melancarkan proses pendidikan di kawasan Melor berlandaskan kepada dasar pendidikan negara.

“Saya adalah seorang guru maka saya akan pastikan semua sekolah dalam kawasan Melor mendapat kemudahan pendidikan yang baik terutama dari segi pembangunan fizikal sekolah, alat kelengkapan pelajaran dan kecukupan tenaga pendidik.

“Kita mahu proses pendidikan itu berjalan dengan lancar mengikut dasar pendidikan negara.

“Di kawasan saya juga pada satu ketika dahulu pernah diluluskan sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab dan kita sudah pun mempunyai tapak yang baik untuk menyuapkannya. Tetapi malangnya sampai ke hari ini ianya tidak dilaksanakan lagi. Maka saya berjanji untuk membawa balik MRSM Ulul Albab itu supaya menjadi kenyataan,” katanya lagi.