KETEREH, 5 Ogos – Rakyat di negeri Kelantan semakin sedar akan kegagalan pemerintahan Pas di negeri tersebut selama 33 tahun yang tidak membawa apa-apa perubahan.

Calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Ahmad Deraman berkata beliau melihat sambutan luar biasa daripada orang-orang muda termasuklah para penyokong Pas yang sudah celik daripada segala retorik politik parti tersebut.

“Nampaknya kita tengok ada sambutan luar biasa daripada orang-orang muda dan para penyokong Pas sendiri. Mereka secara terbuka telah memilih untuk berada sealiran dengan kerajaan pusat sebab mereka telah sedar, selama 33 tahun di bawah kerajaan Pas tiada sebarang perubahan atau penambahbaikan dari segi kemudahan untuk rakyat.

“Secara tidak langsung, rakyat secara sukarela mempunyai kesedaran sendiri. Kita nampak gelombang kebangkitan rakyat Kelantan sebab mereka berasa sudah ketinggalan secara keseluruhannya dan kita di DUN Kok Lanas ini menjadi antara kawasan termaju di Kelantan.

“ADUN sebelum ini iaitu Datuk Seri Dr Md Alwi berkhidmat secara baik dalam tempoh empat penggal kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman parti dan lebih mementingkan khidmat kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk meneruskan legasi pemerintahan BN di kawasan tersebut dan segala permasalahan rakyat perlu diselesaikan sebaiknya.

“Tugas saya adalah untuk meneruskan tugas-tugas beliau dengan sokongan dan kepercayaan diberi oleh rakyat di Kok Lanas ini, insya-Allah DUN Kok Lanas sekali lagi dapat kekal sebagai DUN BN.

“Saya rasa selepas ini di Kok Lanas, kita perlu menyelesaikan masalah anak muda tiada tempat untuk bersukan, penganjuran yang agak terhad kerana kita nampak anak muda perlu didekati dan dibantu untuk bersukan, beriadah serta berniaga.

“Tempat-tempat berniaga mungkin kita boleh sediakan dengan harga yang murah dan terletak di kawasan strategik. Kita mungkin boleh bekerjasama dengan majlis daerah untuk membantu orang muda.

“Kalau Kelantan ini berubah, kita boleh menguasai majlis daerah dari segi pentadbiran negeri dan pengambilan tanah. Mungkin kita dari segi modal kerajaan pusat kita ada satu hubungan rapat kerana sealiran dalam pentadbiran,” katanya lagi.

Ahmad turut berpesan kepada jentera untuk bekerja keras dan mendekati anak-anak muda serta turut mengingatkan rakyat agar memilih wakil rakyat daripada anak tempatan.

“Untuk jentera, ayuh bekerja. Teruskan semangat yang ada. Kita hanya ada masa Dua minggu. Rasanya keperluan untuk para jentera mesti kita dekati anak muda kerana separuh daripada para pengundi di DUN Kok Lanas ini adalah golongan muda bawah 40 tahun.

“Kepada para pengundi kita perlu memikirkan bahawa adalah perlu untuk kita memilih wakil rakyat yang sentiasa berada di kawasan. Jadi saya menyeru para pengundi pilihlah orang dari kampung kita untuk berkhidmat di kawasan.

“Jangan terpesona dengan persembahan calon luar. Mungkin kita tengok cantik seminggu dua ini, tetapi kalau dia dah menang, rasanya untuk menumpang kasih agak sukar,” katanya lagi.