JELI, 11 Julai – Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada Ogos akan menjadi titik tolak kepada perubahan negeri Kelantan setelah ditadbir PAS selama 33 tahun.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, penderitaan yang membelenggu rakyat negeri Kelantan sejak sekian lama seperti masalah air boleh diselesaikan sekiranya negeri tersebut mempunyai pentadbiran yang selari dengan kerajaan pusat.

“Para perantau yang berasal dari Kelantan perlu membuka mata kerana pilihan raya kali ini adalah untuk memilih kerajaan negeri dan ianya perlu selari dengan kerajaan pusat dalam tempoh sepenggal ini.

“Kita di Kelantan perlu ada kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan untuk memudahkan segala urusan dari segi peruntukan, pembangunan dan segenap aspek.

“Insya-Allah, pengundi luar pada kali ini menaruh harapan yang cukup tinggi kepada parti yang akan menggantikan PAS di Kelantan ini dengan syarat tunjukkan kebersamaan. Jangan ada perselisihan dan pertelingkahan. Kita kena ada rangkuman dan kombinasi yang jelas,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, rakyat di Kelantan akan mengalami kerugian sekiranya negeri itu tidak dipimpin oleh parti yang selari dengan kerajaan pusat.

“Rakyat Kelantan akan rugi sekiranya dalam satu penggal ini masih dipimpin oleh kerajaan pembangkang. Rugi dari segi fasiliti dan perkhidmatan kepada rakyat.

“Jadi, fikir-fikirkanlah untuk masa depan kita dalam tempoh lima tahun ini sekiranya Kerajaan Perpaduan boleh mengambil alih Kelantan, banyak manfaat untuk rakyat terutamanya yang kita harapkan iaitu isu air, peluang pekerjaan, pelaburan, jaringan pengangkutan, jalan raya dan lain-lain lagi.

“Perkara ini, kerajaan persekutuan boleh selesaikan dengan syarat kita sealiran dan kita kena selari dengan kerajaan yang ada di Putrajaya. Itu pesanan saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Wan Mahussin turut mengingatkan para pengundi untuk memilih kerajaan negeri yang menjamin kesejahteraan rakyat.

“Pesanan saya kepada para pengundi, kita memilih kerajaan ini untuk kesejahteraan rakyat. Bukan untuk kesejahteraan wakil rakyat. Di Kelantan ini, PAS telah pun memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan.

“14 orang itu dah jadi ahli Parlimen dan apabila mereka ini tidak berfungsi dengan baik, yang ruginya adalah rakyat. Mereka tetap menjadi wakil rakyat, menerima gaji dan elaun… yang ruginya adalah kita apabila kita nak mohon bantuan, tidak ada peruntukan.

“Jelas bahawasanya pilihan raya kali ini bukan untuk memilih wakil rakyat semata-mata tetapi kita memilih kepimpinan yang akan beri manfaat kepada kita. Kita tengok perubahan dalam masa satu penggal sekiranya Kelantan selari dengan kerajaan pusat,” katanya lagi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan pada 22 Jun lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).