PASIR PUTEH, 24 Julai – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman menyarankan agar rakyat di Kelantan menggunakan undi mereka sebaiknya dalam membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Jelasnya, persiapan UMNO Negeri Kelantan dalam menuju ke PRN ini berjalan seperti biasa termasuklah dengan merangka manifesto kepada rakyat bagi mengubah negeri tersebut ke arah yang lebih baik.

“Persiapan menuju ke PRN berjalan seperti biasa. Kita adakan ceramah, perbincangan dan pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat Negeri Kelantan serta Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita juga sedang merangka dan menyiapkan beberapa manifesto rakyat yang kita lihat daripada kegagalan kerajaan Pas/Perikatan Nasional (PN) selama 33 tahun. Ianya menjadikan kehidupan rakyat meruncing dari segala segi sama ada sosial dan ekonomi.

“Manifesto ini kita tidak mahu berbelit-belit, kita tumpukan supaya rakyat boleh faham dan buat keputusan sebaiknya. Dalam PRN, kita perlu fokus kepada suasana negeri. Kalau kita di Kelantan ini, kita perlu memfokuskan bagaimana Kelantan selepas 33 tahun,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, PRN ini merupakan sebuah peluang kepada rakyat untuk membuat beberapa keputusan bagi memilih parti terbaik mentadbir negeri.

“Rakyat Kelantan boleh membuat beberapa keputusan yang mereka mahu. Ada tiga keputusan. Apa yang dilaungkan oleh Pas, mereka mahukan 45-0 dengan memperkecil-kecilkan kita. Mereka boleh membuat keputusan sama ada mereka nak beri 45-0, itu satu jawapan. Tetapi, apa pun kita serahkan kepada rakyat.

“Keputusan kedua, mereka boleh menggunakan undi mereka dengan memilih pembangkang yang kuat bagi proses semak dan imbang. Dalam keputusan ini, Pas boleh menang tetapi memerlukan satu kumpulan atau suara yang kuat di dalam dewan untuk membela rakyat.

“Manakala keputusan ketiga yang boleh rakyat buat adalah mengubah Kelantan dengan menukar kerajaan. Cuba dan rasa kalau Kelantan ditadbir selain daripada Pas. Ini tiga jawapan dan keputusan yang akan berlaku,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zawawi turut beranggapan bahawa sekiranya rakyat membuat keputusan pertama iaitu Pas memperoleh kesemua kerusi, itu adalah angka derita kepada mereka.

“Kalau berlaku keputusan pertama, maka itu adalah angka derita kepada rakyat Kelantan. Tidak kiralah mana-mana kerajaan yang mempunyai majoriti begitu besar, dengan 100 peratus, tidak ada satu pun daripadanya adalah pembangkang maka rakyat juga akan susah.

“Tidak ada semak dan imbang. Apa sahaja yang mereka mahu lakukan, boleh dilaksanakan. Mereka mengatakan bahawa pentadbiran mereka selama 33 tahun itu berjaya. Jadi, itu adalah satu angka derita kepada rakyat Kelantan dan kita sebenarnya memerlukan semak-imbang,” katanya lagi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan secara rasminya telah dibubarkan pada 22 Jun lalu bagi memberikan laluan kepada PRN yang bakal berlangsung pada Ogos ini.

Kedudukan terkini bagi kerusi DUN Kelantan adalah PN dengan 38 kerusi dan BN tujuh kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini.