TANAH MERAH, 8 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri Kelantan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Jelasnya, segala manifesto yang telah dibentangkan adalah realistik dan ia mampu menoktahkan kesengsaraan rakyat Kelantan selama 33 tahun.

“Dua hari yang lalu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan telah membentangkan manifesto. Apa yang dijanjikan ialah kita akan hapuskan semua tunggakan air di negeri Kelantan.

“Kita juga dalam manifesto ada menyebut bahawa kerajaan baharu di Kelantan akan menubuhkan Kolej Universiti Darul Quran di Kelantan. Selain itu, cukai tanah juga akan turun sebanyak 50 peratus,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Program Jelajah Madani, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, para jentera BN dan PH akan saling membantu serta bekerja keras untuk memenangkan calon-calon Kerajaan Perpaduan yang bertanding.

“33 tahun kerajaan Pas gagal mentadbir Kelantan kerana mundur, tiada pembangunan dan kemajuan. Pada PRN kali ini, kita menawarkan 31 orang calon BN dan 14 PH.

“Sekarang, jentera BN seluruh Kelantan akan bekerja keras untuk memenangkan semua calon PH. Jentera PH akan bekerja keras untuk memenangkan calon-calon BN.

“Kita bekerja bukan kerana upah ataupun duit tetapi demi untuk membentuk kerajaan baharu di Kelantan,” katanya lagi.

Tegas Ahmad Zahid, segala pembangunan yang dibawa ke Kelantan adalah hasil daripada kerajaan pusat meskipun Kelantan tidak mempunyai pentadbiran yang sealiran.

“Inilah yang kita lakukan. Kesengsaraan rakyat selama 33 tahun. Apa sahaja yang dilakukan semua datang daripada Kerajaan Persekutuan. Perdana Menteri kita, walaupun Kelantan meminta banyak bantuan… sebagai pemerintah yang adil beliau tetap memberikan peruntukan.

“Bekalan air diberikan oleh beliau. Pelbagai lagi. Itu sebelum kita perintah. Insya-Allah kalau Kerajaan Perpaduan perintah Kelantan, lebih banyak peruntukan kita akan salurkan.

“Bukan itu sahaja, pelaburan asing juga akan dibawa ke Kelantan. Sekarang ini, banyak orang Kelantan cari kerja di luar. Kita mahu pelaburan asing datang ke Kelantan supaya anak-anak kita tidak keluar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru para pengundi untuk memberikan undi kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan pada 12 Ogos ini.

“Kepada para pengundi luar, berubahlah walaupun kali ini mereka pulang atau tidak. Sekiranya pulang, berikanlah undi kepada calon-calon BN-PH.

“Insya-Allah, sekiranya kita dapat 23 kerusi, pada 13 Ogos ini kita akan bentuk kerajaan baharu di negeri Kelantan,” katanya lagi.