PASIR MAS, 31 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti, Zahri Omar mengajak rakyat Kelantan untuk ‘Ubah Kelantan’ bagi memajukan negeri tersebut yang sudah lama ketinggalan sejak pemerintahan Pas selama 33 tahun.

Ketika ditemui UMNO Online, beliau turut memaklumkan bahawa proses berkempen dalam masa lebih kurang dua minggu ini telah dipersiapkan sebaiknya bagi mendekati masyarakat di DUN berkenaan.

“Alhamdulilah, kita telah merancang proses berkempen dalam tempoh dua minggu akan datang ini. Kita telah siapkan segala jadual sebaiknya, di samping berkampung di setiap pusat daerah mengundi (PDM).

“Insya-Allah perkampungan 12 PDM dalam DUN Meranti ini akan dapat kita selesaikan dalam tempoh ditetapkan,” katanya kepada UMNO Online.

Tegas Zahri, negeri Kelantan agak ketinggalan jauh dari segi penjanaan ekonomi termasuklah dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan supaya mereka tidak berhijrah ke luar demi sesuap rezeki.

“Rakyat Kelantan perlu ubah Kelantan. Saya melihat bahawa kita di Kelantan ini khususnya di Meranti, kita telah jauh ketinggalan apatah lagi nak bawa kepada kemajuan.

“Kita ketinggalan jauh dari segi penjanaan ekonomi dan sebagainya. Pada masa yang sama kita akan terus berjuang untuk mengubah Meranti kepada Meranti baharu dan mengubah Kelantan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh pengundi untuk membuat pilihan yang terbaik bagi menentukan para pemimpin dan parti membentuk kerajaan negeri di Kelantan.

“Pesanan saya kepada semua pengundi, marilah kita bersama-sama buat pilihan yang terbaik bagi memastikan kemenangan kepada calon berkebolehan untuk berbakti bagi agama, bangsa dan negara.

“Saya sekali lagi menyeru kepada semua pengundi marilah kita bersatu hati dengan tekad untuk membela nasib rakyat Kelantan,” katanya lagi.